Kes Pristine Offshore: 30 Saksi Pendakwaan Akan Dipanggil

Shah Alam: Pihak pendakwaan akan memanggil sehingga 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Pengarah Pristine Offshore, Chew Ben Ben, 66, di Mahkamah Tinggi, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memberitahu pemberita, kesemua saksi yang akan dipanggil antaranya daripada syarikat Pristine Offshore, Deleum Primera Sdn Bhd, pegawai SPRM serta pegawai bank.

“Jumlah saksi yang akan dipanggil adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada pegawai bank, syarikat Pristine Offshore, Deleum, SPRM dan lain-lain.

“Untuk hari ini saksi pertama akan dipanggil untuk memberi keterangan…,” katanya.

Chew yang ketika itu memegang jawatan pengarah Pristine Offshore didakwa telah secara rasuah memberikan kepada Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat satu suapan bagi faedah dirinya wang berjumlah RM321,350 dengan niat untuk memperoleh subkontrak penyewaan kapal-kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Perbuatan itu dilakukan antara 29 Jun 2020 dan 14 Oktober 2020 di Bandar Kinrara, Puchong.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa menurut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada Mac 2021, Pristine Offshore menjadi syarikat pertama yang didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009: Kesalahan oleh organisasi komersial sejak akta tersebut dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

Tertuduh, syarikat Pristine Offshore Sdn Bhd yang diwakili pengarah, Datuk Abdul Kamal Mohd Mydeen, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Sementara itu, pada prosiding di hadapan hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud, semalam (23 Julai 2024), tertuduh Chew yang kelihatan tenang di kandang saksi kekal dengan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan sebelum ini dan mohon dibicarakan.

Pada prosiding itu, saksi pertama, Azman Mohamad, 55, yang merupakan Pengarah syarikat Dynamic Navigation Sdn Bhd tampil memberikan keterangan sekitar 9:30 pagi.

BBerkaitan

Latest articles