KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal memperkenalkan penggunaan kaedah electronic Know Your Customer (eKYC) secara menyeluruh kepada semua pengguna bermula tahun ini, sebagai langkah memerangi pemalsuan akaun dan penyalahgunaan identiti yang semakin membimbangkan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, keputusan itu dibuat selepas rekod percubaan sistem biometrik menunjukkan prestasi yang sangat positif dengan penurunan mendadak kes penipuan.
“Pada 2021, ada 92 kes. 2022 turun kepada 49, dan 2023 hanya 26. Tahun ini pula, selepas biometrik diperkenal, hanya tiga kes dilaporkan, itu pun melibatkan permohonan dalam talian,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan, isu pemalsuan akaun TNB sebelum ini melibatkan penggunaan identiti palsu, penyediaan perjanjian sewa tidak sah serta akaun keldai yang dieksploitasi sindiket untuk mencuri elektrik.
Perbuatan itu bukan sahaja merosakkan keyakinan pengguna, malah boleh menyebabkan pemilik identiti sebenar menanggung hutang yang bukan milik mereka.
Melalui sistem eKYC, pengguna perlu mengimbas MyKad atau pasport dan melakukan swafoto bagi tujuan padanan wajah, sebelum permohonan akaun baharu dapat diluluskan di portal myTNB.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” jelas Fadillah.
Beliau turut memaklumkan bahawa TNB telah memulakan pengesahan biometrik di semua Kedai Tenaga sejak Julai 2023 menggunakan cap jari dan MyKad.
Kaedah itu, katanya, selari dengan standard industri yang digunakan sektor kerajaan, bank dan syarikat telekomunikasi.
PETRA turut memberi jaminan bahawa pemilik akaun sah tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap bil yang terhasil daripada aktiviti penipuan.
Dalam masa sama, Fadillah turut mendedahkan angka mengejutkan, TNB menanggung kerugian RM5.14 bilion sejak 2020 akibat kecurian elektrik, terutamanya di premis yang menjalankan aktiviti perlombongan kripto.
“Kerugian itu dikenal pasti hasil pemeriksaan ke atas 14,489 premis melalui 91 operasi, dengan 77 kertas siasatan dibuka,” katanya.










