Kes Pengawal Keselamatan Diserang Kini Diklasifikasi Sebagai Bunuh

KUALA LUMPUR: Polis kini mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pengawal keselamatan yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh bulan lalu sebagai kes bunuh, selepas mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata kertas siasatan dikemas kini dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes ini pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. Namun selepas mangsa meninggal dunia, klasifikasi kes disemak semula sebagai kes bunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai R. Chandran, 54, diserang pada 13 Oktober lalu di pondok pengawal Menara Megah Condominium selepas enggan memenuhi permintaan seorang penghuni untuk menemaninya ke unit kediamannya.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai pemilik unit di kondominium berkenaan turut mengacukan pemetik api berbentuk pistol terhadap mangsa ketika kejadian.

“Pemetik api itu dirampas untuk membantu siasatan. Saiznya kecil, tetapi bentuknya hampir sama dengan pistol sebenar,” jelas Ahmad Sukarno.

Selepas diserang, mangsa sempat membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan sebelum ditemui meninggal dunia di rumahnya tidak lama kemudian.

Suspek ditahan pada hari sama sekitar jam 4.30 petang dan direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Pada peringkat awal, kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada TPR tiga hari selepas kejadian. Polis kini menunggu arahan lanjut untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Polis turut menegaskan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan bukti sebelum tindakan undang-undang seterusnya diambil terhadap suspek.

BBerkaitan

Latest articles