Kes Pemandu Mabuk: Keluarga Mangsa Tuntut Pampasan Hingga RM1 Juta

KLANG: Keluarga kepada seorang penghantar makanan yang maut dalam nahas melibatkan pemandu dipercayai mabuk kini mempertimbangkan tindakan undang-undang sivil dengan nilai tuntutan yang boleh mencecah sehingga RM1 juta.

Peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, berkata pihaknya sedang mengumpul dokumen serta maklumat berkaitan sebelum memulakan prosiding terhadap tertuduh dan syarikat insurans terlibat.

Menurut beliau, Mahkamah Majistret Klang telah membenarkan beliau bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga sepanjang prosiding kes jenayah tersebut.

“Kami sedang meneliti semua aspek sebelum memfailkan saman sivil. Tuntutan akan dibuat berdasarkan prinsip undang-undang serta rujukan kes terdahulu, dengan anggaran boleh mencecah jumlah yang dinyatakan,” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Klang, hari ini.

Terdahulu, seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, dalam kejadian di Jalan Raya Barat pada 29 Mac lalu, kira-kira jam 11.47 pagi.

Mengulas lanjut, Faizi menjelaskan bahawa jumlah pampasan akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor utama termasuk pendapatan mangsa, umur serta tahap kebergantungan ahli keluarga yang ditinggalkan.

Katanya, kaedah pengiraan turut mengambil kira gandaan tertentu selaras dengan amalan dalam kes-kes terdahulu bagi memastikan keadilan kepada waris mangsa.

BBerkaitan

Latest articles