KUALA LUMPUR: Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa syukur susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), sekali gus menamatkan prosiding melibatkan 47 pertuduhan terhadapnya.
Menerusi satu hantaran di Facebook malam ini, Pengerusi Barisan Nasional itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai bukti bahawa kebenaran akhirnya terserlah selepas melalui proses perundangan yang panjang.
“Syukur Alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Terdahulu, AGC memaklumkan bahawa keputusan tidak meneruskan pendakwaan dibuat berdasarkan kuasa dan budi bicara Peguam Negara seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan, sekali gus membawa kepada penamatan kes tersebut.
Sebelum ini, pada September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Keputusan DNAA itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat AGC untuk memberhentikan prosiding, dengan mahkamah mengambil kira faktor siasatan yang masih berjalan serta cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Pada Jun 2024, usaha Badan Peguam untuk mencabar keputusan Peguam Negara melalui semakan kehakiman turut menemui kegagalan apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut.










