Kes Kematian Ivana Smit: Kerajaan Diberi 48 Jam Selesaikan Bayaran RM1.1 Juta

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diberi tempoh 48 jam mulai hari ini untuk mematuhi perintah Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, yang meninggal dunia dalam insiden tragis di sebuah kondominium lapan tahun lalu.

Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili ibu mendiang, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, menegaskan bahawa jumlah berkenaan perlu segera dimasukkan ke dalam akaun yang diuruskan firma guamannya.

Katanya, kegagalan kerajaan mematuhi tempoh tersebut membuka ruang untuk tindakan undang-undang lebih tegas, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.

Notis tuntutan itu telah diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, hari ini.

Desakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman bertarikh 29 Julai.

Hakim Roz Mawar Rozain sebelum ini memerintahkan bayaran dibuat serta merta setelah mendapati berlaku kecuaian serius pihak polis dalam siasatan kematian Ivana pada 2017.

Nair berkata, sehingga surat tuntutan dikeluarkan, pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau bukti pembayaran daripada defendan.

Pada Julai lalu, mahkamah mendapati terdapat pelanggaran tanggungjawab oleh beberapa pihak berkuasa termasuk kegagalan mengurus lokasi kejadian, pemeliharaan bukti serta kelemahan prosedur forensik.

Tuntutan saman itu difailkan oleh Christina terhadap Ketua Polis Negara, pegawai penyiasat kes, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia, mendakwa mereka cuai dalam menentukan punca kematian anaknya yang berusia 18 tahun ketika itu.

Ivana ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium milik pasangan warga Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

BBerkaitan

Latest articles