Kes Kehilangan Pastor Koh, Amri: AGC Rayu Keputusan Bayar Pampasan RM40 Juta

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Dalam kenyataannya hari ini, AGC memaklumkan keputusan untuk merayu dibuat selepas meneliti secara menyeluruh penghakiman yang dibacakan Hakim Su Tiang Joo semalam.

“Setelah mempertimbangkan keputusan tersebut, jabatan ini akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan kerajaan dan polis membayar pampasan lebih RM37 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh selepas mendapati pihak berkuasa terlibat secara langsung dalam penculikan beliau pada 2017.

Dalam penghakiman sama, hakim turut memerintahkan pampasan lebih RM3 juta dibayar kepada keluarga Amri kerana kegagalan menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan aktivis itu.

Hakim Su dalam keputusannya menyatakan, sekurang-kurangnya seorang atau lebih pegawai polis, sama ada masih berkhidmat atau telah bersara, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak “mengikut satu arahan”.

Beliau juga mendapati kerajaan dan polis melanggar kewajipan statutori serta bertindak bertentangan dengan Perlembagaan dalam kes Amri.

Pastor Raymond Koh dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, manakala Amri Che Mat, pengasas NGO Perlis Hope, dilaporkan hilang selepas meninggalkan rumahnya di Kangar pada 24 November 2016.

BBerkaitan

Latest articles