Kes Jana Wibawa: Pendakwaan Dakwa Dana Ratusan Juta Disalur Ke Akaun Bersatu

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa mereka akan mengemukakan bukti bagi menunjukkan wang berjumlah jutaan ringgit yang dikaitkan dengan projek Jana Wibawa telah disalurkan ke akaun Bersatu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden parti itu.

Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, kes terhadap tertuduh akan dibuktikan melalui pelbagai bentuk keterangan termasuk dokumen rasmi, keterangan saksi serta bukti mengikut keadaan.

Menurut beliau, Muhyiddin berdepan tujuh pertuduhan keseluruhannya iaitu empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) dan tiga lagi di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pendakwaan memaklumkan bahawa wang yang menjadi pertikaian dalam kes tersebut tidak dimasukkan ke akaun peribadi Muhyiddin, sebaliknya ke dalam akaun Bersatu.

Bagaimanapun, ketika itu beliau merupakan Presiden parti berkenaan selain memegang jawatan Perdana Menteri yang didakwa mempunyai kepentingan tidak langsung dalam pelaksanaan projek Jana Wibawa.

Wan Shaharuddin berkata, pihak pendakwaan juga akan menunjukkan bahawa Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit arahan yang dikeluarkan oleh tertuduh dan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada tindakan tersebut, begitu juga dengan parti-parti sekutu kerajaan pada waktu berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memutuskan pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) ASPRM terhadap Muhyiddin tidak mempunyai sebarang kecacatan dari segi undang-undang.

Berdasarkan pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk parti berkenaan.

Selain itu, beliau juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan penerimaan wang hasil aktiviti haram sebanyak RM200 juta daripada sebuah syarikat, yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

Salah satu kesalahan itu didakwa berlaku antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021, iaitu bermula dari hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perbicaraan kes berkenaan dijangka melibatkan kira-kira 30 saksi pendakwaan.

Prosiding kini sedang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin dengan saksi pertama, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang memberi keterangan.

BBerkaitan

Latest articles