KUALA LUMPUR: Seramai tujuh pelajar disyaki terlibat dalam kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Nibong Tebal seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, tiada laporan dibuat berhubung kejadian tersebut namun pihaknya telah menjalankan siasatan susulan video tular itu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pertengahan tahun lepas membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa yang berusia 15 tahun.
“Kesemua mereka yang terlibat telah dikenal pasti dan punca kejadian mereka hanya bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Norazmi memaklumkan pihaknya akan memanggil individu yang terlibat bagi merakam keterangan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan telah meminta pegawainya melakukan siasatan segera sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku di institusi itu.
“Kita (MARA) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya kejadian berkenaan benar melibatkan pelajar MRSM.
“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga MARA, ‘you touch, you go’ (kamu sentuh, kamu pergi).
“Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya menerusi kenyataan itu.
Tular di media sosial satu rakaman video berdurasi seminit 32 saat yang memaparkan dua remaja lelaki menindih seorang remaja di atas katil.
Salah seorang daripada mereka turut dilihat memukul badan mangsa menggunakan objek disyaki tali pinggang.