Kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan menurun dalam tempoh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan kira-kira 40 hari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penurunan jangkitan kes dalam kalangan mereka menunjukkan tanda positif pelaksanaan program tersebut yang bermula 24 Februari lepas.
“Kes jangkitan melibatkan petugas kesihatan secara keseluruhannya diperoleh daripada masyarakat setempat yang mendapatkan rawatan. Jadi, petugas Kementerian Kesihatan adalah antara golongan sasar utama bagi fasa pertama program ini.
“Penurunan kes jangkitan dalam kalangan mereka adalah antara kejayaan awal program ini yang menunjukkan keberkesanannya,” katanya selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 Lindungi Diri, Lindungi Semua peringkat Segamat di Dewan Muafakat, Taman Yayasan di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full dan Pegawai Daerah Segamat, Nasri Md. Ali.
Sehingga semalam, sebanyak 5,978 kes sembuh di catatkan, 105 kes stabil masih dalam rawatan dan empat kes kematian melibatkan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendaftaran rakyat Malaysia bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan masih pada tahap yang rendah sejak ia dilancarkan dan keadaan itu sangat membimbangkan pihaknya.
Sehingga hari ini, ujarnya, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia yang mendaftar menerusi aplikasi mySejahtera. Angka itu hanya mewakili kira-kira 30% penduduk Malaysia.
“Saya tertanya-tanya apakah punca rakyat Malaysia masih belum mendaftar bagi menerima vaksin ini. Adakah kempen yang dijalankan masih kurang atau orang ramai takut nak ambil vaksin. Kemungkinan juga mereka tidak tahu bagaimana caranya.
“Kita harus mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus pendaftaran bagi kapasiti penduduk seramai lebih 20 juta orang kini. Maka, kita menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan pihak kementerian bagi program vaksinasi supaya rangkaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.
Beliau berkata, antara punca yang dikenal pasti pihak kementerian adalah kemungkinan sikap tunggu dan lihat dalam kalangan masyarakat yang masih was-was keberkesanan suntikan vaksin berkenaan. – UTUSAN ONLINE