Kerjaya Usahawan Elemen Penting Pacu Ekonomi Warga Desa – PM

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain pembangunan infrastruktur dan pendidikan, kerajaan turut memberi tumpuan kepada satu lagi elemen penting iaitu keusahawanan sebagai pemacu pembangunan ekonomi dalam kalangan penduduk kampung.

Justeru itu, beliau berkata, penduduk kampung boleh menjadikan keusahawanan sebagai pilihan utama mereka sebagai sumber pendapatan yang berterusan.

Menurut Ismail Sabri, warga desa kini aktif dalam pelbagai bidang ekonomi yang tidak hanya tertumpu kepada aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau nelayan bagi yang tinggal di pinggir pantai.

“Keusahawanan perlu menjadi kerjaya pilihan utama dalam bidang ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadi sumber pendapatan berterusan dan seterusnya memberikan manfaat yang lebih meluas kepada penduduk luar bandar,” katanya,

“Kerajaan memperuntukkan lebih RM10.9 bilion dalam Bajet 2023 iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB ) untuk memastikan infrastruktur luar bandar lebih baik,” katanya semasa merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Mini Karnival Usahawan Desa Bera ini menyasarkan 10,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM100,000 dengan pembabitan 60 usahawan desa.

BBerkaitan

Latest articles