Kerjasama semua pihak lawan wabak Covid-19 – Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua rakyat untuk berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Seri Paduka bertitah usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setiakawan yang erat dari seluruh rakyat.

“Beta menaruh sepenuh keyakinan, berbekalkan ikhtiar serta usaha kita semua menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, akan membolehkan kita bangkit semula, bersama seiring dan sehaluan membina masa hadapan yang lebih gemilang buat negara yang dicintai ini.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik Covid-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita,” titah baginda dalam Titah Diraja sempena pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi RTM hari ini.

Baginda bertitah ketika negara mula dilanda gelombang pertama pandemik Covid-19 pada awal tahun lepas, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak serta kerjasama erat seluruh rakyat Malaysia.

Namun, titah Seri Paduka, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang telah membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat.

Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurang serta mencegah jangkitan Covid-19.

“Di samping itu, inisiatif yang dikenali sebagai ‘Agen Basmi Covid-19’ atau ‘ABC-19’ bakal menyaksikan penglibatan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kesyukuran atas usaha gigih kerajaan membawa vaksin yang berupaya melindungi rakyat daripada jangkitan Covid-19.

 

BBerkaitan

Latest articles