KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bahawa mereka tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam politik semasa, parti yang bergerak sendirian semakin tidak relevan, justeru gabungan menjadi pilihan utama.
“PN tetap akan bertanding atas tiket gabungan. Kerjasama dengan Warisan tidak mustahil kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku,” katanya dipetik daripada Sinar Harian.
Sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan parti itu akan meletakkan calon di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Beliau juga menolak sebarang pakatan dengan parti politik lain, dengan alasan perjuangan Warisan adalah bersama rakyat.
Pada PRN 2020, Warisan berjaya meraih 23 kerusi daripada 46 yang ditandingi, namun kini hanya tinggal 14 kerusi setelah beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, rundingan mengenai agihan kerusi masih berjalan, selain mengenal pasti calon berpotensi.
“Jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi belum dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada kekuatan parti di Sabah. Bagi PAS, kalau dapat menang satu kerusi pun, ia sudah dianggap kejayaan besar. Buat masa ini, kita hanya ada seorang ADUN dilantik iaitu Pesuruhjaya PAS Sabah,” jelasnya.