Kerjasama MN Tetap Utuh, Kata Zahid

Meskipun ada pihak membuat cubaan merenggangkan hubungan antara UMNO dan PAS, namun kerjasama yang dijalinkan menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 itu masih berjalan dan terus diperkukuhkan.

Demikian jaminan Presiden UMNO, Datuk Seri De Ahmad Zahid Hamidi sambil berkata, hubungan kedua-dua parti juga masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

Ahmad Zahid menjawab status terkini (MN) berikutan PAS telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan BERSATU.

“Manakala UMNO sebaliknya. UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Dalam perkongsian yang sama Ahmad Zahid turut memaklumkan hasrat untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti yang telah pun wujud sejak tahun 1998.

“Selepas saya mendapat “Ijazah” Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din ketika itu.

“Allahyarham Tuan Guru waktu itu merupakan Ketua Penerangan PAS. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr. Haron Din kepada saya.

“Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepadanya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada 2016.

“Syukur Alhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengimbas pengalaman sebagai Presiden UMNO yang berkunjung ke pusat perkhidmatan Presiden PAS di Rusila dan menghadiri Muktamar Sanawi PAS di Gong Badak.

Katanya, tanpa kerjasama antara kedua-dua pihak, pastinya kerjasama UMNO dan PAS pasca PRU14 ini tidak dapat diwujudkan.

Ahmad Zahid berpandangan adalah penting untuk UMNO dan PAS meneruskan kerjasama di masa mendatang kerana ia terbukti memberi impak positif dan hubungan itu akan terus rapat serta dekat.

“Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles