KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuannya bersama syarikat gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika lawatan kerja tiga hari ke negara itu akan merapatkan hubungan dua hala selain melonjakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan terjalin selama ini.
Anwar memulakan lawatan hari kedua dengan mengadakan pertemuan bersama tiga pengurusan kanan dana kekayaan berdaulat negara itu di sini iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (Adia), Mubadala dan Masdar.
“Kami membincangkan memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama dalam tenaga boleh baharu (TBB), sekuriti makanan dan tenaga, kecerdasan buatan serta menangani isu serantau dan global bersama,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.
Anwar berkata, ketika pertemuan dengan Adia diketuai Pengarah Urusan Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, kedua-dua pihak senada terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan kecemerlangan dicapai semasa lawatan terdahulu.
“Dalam pertemuan dengan pengarah urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak, soal pelaburan baharu dan sedia ada turut dibincangkan,” kata Anwar.
Anwar berkata, isu terkait pelaburan projek TBB adalah antara dibincangkan sewaktu pertemuan dengan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
“Insya-Allah, kita mengharapkan momentum positif pelaburan hasil pertemuan ini akan terus meningkat yang disokong oleh keyakinan dan komitmen pemain industri dan syarikat gergasi UAE,” katanya.
Anwar tiba di sini pada Ahad.