Kerjasama Lebih Penting, Henti Tuding Jari Cari Kesalahan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pihak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha memulihkan kehidupan mangsa-mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri.

Najib turut menegaskan bahawa semu pihak perlu menghentikan perbalahan dan mencari kesalahan terutama berhubung peranan kerajaan pusat dan negeri dalam menguruskan bencana banjir.

“Mangsa banjir tak mahu tengok mereka main ‘game’ salah-menyalah. Mangsa banjir sedih melihat ‘game’ salah-menyalah berlaku. Saya turut sedih.

“Mangsa banjir perlu bantuan segera dan bantuan untuk memulihkan kehidupan mereka,” demikian menurut Najib dalam satu hantaran di Facebooknya.

Reaksi itu menyusul selepas dakwaan berlakunya pertindihan peranan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), begitu juga peranan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Begitu juga dengan dakwaan dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa jawatan Pengerusi MKN yang dipegang Datuk Seri Noh Omar telah bertukar tangan.

Menurut Noh, Amirudin seakan tidak memahami terdapat dua arahan berbeza di bawah MKN iaitu pertama pengurusan keselamatan negara dan kedua MKN Semakan Semula Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana negara.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan bahawa NADMA ditubuhkan pada 2014 ketika pentadbiran beliau bagi mengambil alih tanggungjawab pengurusan bencana alam dari MKN.

“NADMA pun ditubuhkan melalui pindahan perjawatan dari bahagian pengurusan bencana MKN, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dari Unit Pengurusan Pasca Banjir ICU.

“Konsepnya serupa dengan Federal Emergency Management Agency (FEMA) di Amerika Syarikat sebab kami percaya sebuah agensi pusat yang khusus dan fokus pada pengendalian pengurusan bencana adalah lebih efektif dan lebih bersedia untuk memberi respon laju,” tambahnya.

Justeru, katanya, selaras dengan model berkenaan, setiap negeri mempunyai unit dan jawatankuasa pengurusan bencana masing-masing yang diketuai kerajaan negeri.

“Jadi, ianya tidak betul untuk salahkan MKN pusat atau di peringkat negeri bagi pengurusan bencana banjir. Ianya juga tidak betul untuk kata NADMA tak memainkan peranan bagi bencana banjir. Nama pun sudah Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Dan ianya juga salah bagi kerajaan negeri untuk nafi tanggungjawab mereka dalam pengurusan dan pencegahan banjir dan hanya nak salahkan kerajaan pusat sahaja,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles