Kuala Lumpur – Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menegaskan keperluan membina kerjasama kukuh antara dunia Islam dan Rusia dalam era multipolar yang semakin berkembang.
Menurutnya, adalah penting hubungan erat antara Rusia dan negara-negara Islam, bukan sahaja dalam aspek politik tetapi juga dalam bidang ekonomi, budaya, dan kemanusiaan. Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini harus bersandarkan nilai keadilan, toleransi, dan kasih sayang yang menjadi asas agama Islam.
“Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang bebas dan memilih untuk bekerjasama dengan Timur dan Barat. Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan isu kemanusiaan dan keadilan sentiasa menjadi keutamaan,” kata Anwar semasa Sidang Kemuncak Kumpulan Visi Strategik “Dunia Islam-Rusia” di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pagi ini.
Beliau yang turut mengutarakan kebimbangan terhadap peningkatan Islamofobia, terutamanya di Eropah dan Amerika Utara, yang menyaksikan peningkatan jenayah kebencian terhadap umat Islam dan turut menyeru semua negara untuk memperkenalkan undang-undang anti-diskriminasi dan memastikan kesaksamaan untuk semua masyarakat.
Isu Palestin dan Syria
Di dalam Ucapannya juga. Perdana Menteri turut menyatakan rasa kecewa terhadap kezaliman yang berlaku di Palestin, yang dianggap sebagai “tragedi abad ini”. Beliau menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa harus berhenti mendiamkan diri terhadap penjajahan dan penindasan di wilayah tersebut.
Selain itu, Anwar menyeru penyelesaian aman bagi konflik di Syria, dengan menolak perpecahan sektarian dan mengutamakan perpaduan negara.
Beliau yang turut menyoroti potensi besar kerjasama antara Rusia dan negara-negara Islam dalam bidang ekonomi, teknologi, dan pendidikan dan turut memuji kemajuan Rusia dalam sektor pertanian dan menyeru usaha bersama untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan global serta memerangi kemiskinan dan kelaparan.
“Kerjasama ini bukan hanya untuk keuntungan ekonomi tetapi juga sebagai manifestasi nilai-nilai Islam dalam memelihara kemanusiaan dan keadilan,” tambah beliau.
Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru semua pihak untuk mengubah perbincangan dalam sidang ini kepada tindakan konkrit demi kebaikan ummah dan komuniti global.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Visi Strategik Dunia Islam-Rusia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atas inisiatif mereka dalam menjayakan persidangan ini katanya.