Kerjasama Dengan BERSATU Jangan Sampai UMNO-PAS Pula Berpecah

UMNO terbuka dengan pendirian PAS yang mahu terus bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan rakan kerjasamanya di dalam Muafakat Nasional (MN) itu untuk tidak menyebabkan pakatan mereka berpecah hanya kerana BERSATU.

“Memang kita nak bekerjasama dengan PAS. Kalau PAS nak sokong BERSATU itu masalahnya (terpulang). Tapi PAS dengan kita (UMNO) jangan berpecah.

“Mungkin ada formulanya. (Mungkin formulanya) PAS dengan BERSATU tapi PAS tidak menyusahkan UMNO.

“Maksudnya di mana UMNO bertanding, PAS jangan tolong BERSATU bantai kita,” katanya.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) itu turut menyifatkan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU tidak dilakukan secara semberono.

Ujar beliau, pendirian akan dibuat berdasarkan terdapat usaha untuk ‘mengecilkan’ parti itu.

“Dia tidak tahu masalah. Tuan Ibrahim tolong faham, apa sebabnya UMNO membuat pendirian begitu, mesti ada sebab yang besar.

“Mesti telah difikirkan dengan masak-masak. UMNO tidak akan buat keputusan dengan semberono kata tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU.

“Sebelum dia nak berikan saranan itu dan ini dia kena faham apa masalahnya. Kalau dia tidak tahu apa masalahnya, apa pun yang dia cakap tidak akan membawa apa-apa kejayaan,” tambahnya.

Reaksi itu diberikan selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa UMNO dan BERSATU mengadakan rundingan berhubung kerjasama dua parti berkenaan.

Latest articles

Related articles

spot_img