KUALA LUMPUR: Keputusan muktamad sama ada kerjasama UMNO dan PAS akan kembali bertaut menerusi Muafakat Nasional (MN)!atau sebaliknya, hanya akan diketahui sebelum hujung minggu ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan berkata, dalam membuat keputusan berkenaan parti itu akan mengambil kira faedah dan mudarat yang bakal dihadapi.
Reaksi Takiyuddin hadir selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan yang parti itu tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah dengan PAS yang menjadi asas kestabilan politik negara.
“PAS dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam hal ini dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat yang paling ringan,” kata Takiyuddin.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, PAS menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid susulan pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu.
Malah PAS tetap mengharapkan satu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan antara parti utama Melayu Islam tersebut.
“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ di antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka.
“Dalam hal ini, PAS turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan hadis,” kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Ahmad Zahid mengesahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada mengunjungi dan mengadakan pertemuan di kediamannya baru-baru ini, yang turut membincangkan agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan secara bersama oleh PAS dan UMNO.