Kerja Label Orang Langsung Tak Bantu Rakyat, Negara – Pemuda Amanah ‘Bahasakan’ Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Sebagai ahli Parlimen pembangkang, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya menjalankan tugas semak dan imbang.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah), Abbas Azmi berpandangan tindakan Abdul Hadi melabel kerajaan sebagai ‘besar kepala’ dilihat tidak membawa faedah kepada usaha kerajaan menstabilkan ekonomi dan perpaduan negara.

Beliau menambah Abdul Hadi cuba menimbulkan persepsi negatif kepada usaha kerajaan hari ini.

“Tan Sri Hadi seharusnya menjadikan reputasi kerja beliau ketika menjawat jawatan duta khas timur tengah bertaraf menteri sebagai contoh kepada kerajaan hari ini mengambil pengajaran.

“Jadikan, pengalaman dan segala hubungan baik di antara negara-negara luar untuk membantu kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, setelah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menguruskan negara ketika Covid-19 termasuk membangunkan ekonomi serta menangani kos sara hidup rakyat, ia telah membawa kesan besar kepada banyak kerosakan dan kesusahan terhadap negara serta rakyat.

Ujarnya, kini adalah masa untuk sama-sama saling membantu atas semangat perpaduan dalam menguruskan kembali negara, agar penderitaan rakyat ketika pandemik Covid-19 yang lepas dapat segera ditamatkan.

“Melabel kerajaan dengan pelbagai gelaran langsung tidak membantu rakyat dan negara.

“Semoga Allah merahmati kita semua dan dijauhi dari segala kejahatan terutama yang sengaja diada-adakan oleh mereka yang tidak beretika,” tambahnya.

Latest articles

Related articles

spot_img