Kerap Dimarahi Tidak Bekerja, Beli Alkohol, Anak Nekad Bunuh Bapa Dengan Penyodok

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tergamak membunuh bapanya sendiri kerana tidak tahan asyik dimarahi atas alasan malas bekerja.

Suspek dipercayai memukul bapanya menggunakan penyodok sehingga mati di sebuah rumah di Bandar Sunway, Sabtu lalu.

Mayat mangsa berusia 74 tahun itu kemudiannya dibalut dengan kain langsir sebelum diletakkan di tepi jalan dan ditemui kira-kira 2.15 pagi.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata mangsa dipercayai bertengkar dengan suspek berusia 40an yang sudah dua tahun tidak bekerja dan kerap menghabiskan wang membeli minuman keras.

“Perkara itu menjadikan mangsa kerap memarahi suspek sehinggalah pada hari kejadian, suspek dipercayai hilang sabar dan memukul kepala serta tubuh bapanya beberapa kali dengan penyodok pasir.

“Suspek kemudian membalut tubuh bapanya yang tidak sedarkan diri dengan langsir dan dimasukkan ke dalam kereta sebelum memandu ke Jalan PJS 10/24 dan mencampakkan bapanya di tepi jalan,” demikian menurut Berita Harian.

Fakhrudin berkata mayat mangsa ditemui saudaranya di tepi jalan terletak dua kilometer dari rumah mangsa, kira-kira 2.15 pagi, hari sama.

Katanya, suspek ditahan pada hari sama dan polis merampas satu penyodok pasir serta kereta jenis Perodua Kelisa digunakan suspek ketika kejadian.

Suspek ditahan remah tujuh hari sehingga Sabtu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

BBerkaitan

Latest articles