Kerana Tugas Ada Yang Terpaksa Buka Tudung, PAS Gesa Kerajaan Benarkan Pramugari MAS Tutup Aurat

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menggesa kerajaan memberikan kebenaran kepada pramugari Muslim, terutama yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) untuk memakai pakaian menutup aurat ketika bertugas.

Pandangan itu disuarakan Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff dengan berkata, peraturan itu wajar dimulakan Malaysia Airlines memandangkan syarikat berkenaan milik kerajaan.

“Adalah wajar memberi kebenaran kepada pramugari Muslim menunaikan hak-hak mereka sebagaimana disarankan agama Islam,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Dewan Negara.

Memetik laporan Harakah Daily juga, Wan Martina turut berkongsi pengalaman dilaluinya ketika bertugas sebagai doktor di dewan bedah yang tidak membenarkan petugas memakai tudung sebelum ini.

Katanya, pada masa itu beliau memikirkan antara nyawa pesakit dan tuntutan agama yang mewajibkan wanita Muslim menutup aurat.

“Tetapi Alhamdulillah sekarang petugas di dewan bedah, termasuk doktor dan jururawat wanita Muslim dibenarkan memakaikan tudung,” katanya.

Perkara itu pada awalnya dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, yang mempersoalkan pendirian kerajaan mengenai pakaian seragam pramugari Malaysia yang tidak menutup aurat, termasuk hak pramugari Islam yang diwajibkan memakai pakaian seragam yang tidak “tutup aurat”.

“Terdapat dalam kalangan mereka yang menutup aurat ketika berada di rumah atau di daratan tetapi tiba-tiba kerana tugas, demi sesuap nasi maka mereka terpaksa membuka aurat ketika di udara,” katanya.

Sehubungan itu Abdul Latiff menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperjuangkan isu berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles