KUANTAN: Perbalahan lama berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki ditikam di bahagian perut oleh kenalannya sendiri dalam kejadian di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang, pada petang Jumaat.
Mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pekebun cedera selepas ditikam dengan pisau sepanjang lima inci di hadapan rumahnya kira-kira jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun datang ke rumah mangsa dan memanggilnya keluar sebelum berlaku pertengkaran.
“Suspek dikatakan mengajak mangsa mengikutnya dengan alasan ada rakan mahu berjumpa, namun mangsa menolak. Secara tiba-tiba, suspek mengeluarkan pisau dari belakang seluar dan menikam perut mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami luka di bahagian perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam keadaan stabil.
Ashari berkata, hasil tindakan pantas polis, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian oleh anggota dari Balai Polis Jaya Gading.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada dendam lama, dipercayai kerana mangsa pernah membuat laporan polis terhadap suspek berhubung kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam.
Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 40 saat yang memaparkan pertengkaran dua lelaki di tepi jalan kampung tular di media sosial.
Video tersebut dipercayai merakam detik-detik sebelum insiden tikaman berlaku.










