Kerajaan Utamakan Keselamatan Lebih 29,000 Rakyat Malaysia Di Asia Barat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi amaran tegas bahawa keselamatan lebih 29,112 rakyat Malaysia di Asia Barat kini menjadi keutamaan tertinggi susulan ketegangan memuncak akibat serangan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Putrajaya tidak akan berdiam diri dan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan setiap rakyat Malaysia di rantau bergolak itu dilindungi sebaiknya.

Menurut beliau, angka tersebut merangkumi rakyat Malaysia yang berdaftar dan tidak berdaftar, termasuk yang bekerja, bermastautin, melancong serta menunaikan ibadah umrah di beberapa negara Asia Barat.

“Sebagai kerajaan, menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia. Keberadaan mereka di sana mesti dipastikan selamat,” tegasnya ketika membentangkan usul mengutuk serangan yang disifatkan sebagai biadab dan ganas di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar mendedahkan, sebahagian rakyat Malaysia kini berdepan kesukaran untuk pulang ke tanah air berikutan penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan di beberapa negara terlibat.

Ada yang telah lama menetap dan bekerja di sana, manakala sebahagian lain adalah pelancong serta jemaah umrah yang terkandas akibat situasi tidak menentu.

Antara negara yang mencatatkan jumlah rakyat Malaysia paling ramai ketika ini ialah Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jordan,

Kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) kini memantau perkembangan secara dekat, termasuk berhubung terus dengan kedutaan Malaysia di negara terlibat bagi menyelaras sebarang usaha membawa pulang rakyat Malaysia sekiranya keadaan mengizinkan.

Bagaimanapun, usaha repatriasi masih berdepan kekangan serius susulan sekatan penerbangan dan ketidaktentuan pembukaan ruang udara.

“Setakat ini, penerbangan dari Arab Saudi masih dibenarkan. Namun bagi negara lain, kita masih belum menerima kepastian,” jelas Anwar.

Situasi di Asia Barat terus meruncing susulan tindakan ketenteraan yang mencetuskan kebimbangan besar terhadap keselamatan awam serta kestabilan laluan udara antarabangsa.

Beberapa negara dilaporkan mengambil langkah drastik dengan menutup atau mengehadkan ruang udara masing-masing sebagai langkah keselamatan, sekali gus memberi kesan langsung kepada pergerakan keluar masuk warga asing termasuk rakyat Malaysia.

Kerajaan menegaskan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi rakyat Malaysia di luar negara.

BBerkaitan

Latest articles