PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini, sekali gus menunaikan janji Kerajaan Madani untuk mengurangkan beban sara hidup.
Untuk anggota polis dan tentera, mereka menikmati harga baharu itu lebih awal pada 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula sehari selepas itu bagi mengelak kesesakan sistem sebelum ia dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.
Menurut Anwar, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 16 juta rakyat bakal menikmati manfaat subsidi berkenaan tanpa mengira tahap pendapatan, sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Mulai 30 September, harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter. Ini hadiah semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia buat rakyat. Tetapi perlu ditegaskan, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi, mereka akan bayar RM2.60 seliter,” katanya ketika berucap dalam majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, hari ini.
Anwar menjelaskan, pelaksanaan penyasaran subsidi itu akan dijalankan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95), di mana rakyat hanya perlu menggunakan MyKad untuk menikmati harga bersubsidi.
“Tiada pendaftaran diperlukan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Hanya perlu sahkan MyKad di pam minyak atau kedai sebelum membuat pembayaran. Untuk yang celik digital, mereka boleh guna Touch ‘n Go atau aplikasi syarikat minyak seperti Setel,” katanya.
Bagi mengelakkan penyalahgunaan, setiap individu akan dikenakan had kelayakan 300 liter sebulan, kecuali pemandu e-hailing yang boleh memohon kuota tambahan.