Kerajaan umum RM113 juta peruntukan untuk PPR Kepala Batas, kata PM

SEBERANG PERAI: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM113 juta untuk membangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia sesuai dengan inisiatif Keluarga Malaysia menerusi bajet 2023 bagi memenuhi keperluan tempat kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan belum memiliki rumah.

“Sebanyak 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, termasuk tujuh unit rumah bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

“Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit.

“Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta, katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Projek PPR Kepala Batas, Masjid Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini, hari ini.


Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, yang akan dibangunkan di atas tanah milikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seluas dua hektar.

Beliau berkata, pembinaan masjid itu menggunakan kaedah perkongsian kos dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM7 juta.

Katanya, perkongsian kos itu membabitkan peruntukkan sebanyak RM4 juta dari Kerajaan Persekutuan, RM 2juta daripada Kerajaan Negeri dan RM1 juta melalui sumbangan wakaf dana pembangunan masjid.

“Masjid ini mampu memuatkan sehingga 1,500 jemaah selain menampilkan seni bina berkonsepkan Green Design Approach atau bangunan mesra alam rendah karbon, dan ia akan menjadikan masjid tersebut sebagai mercu tanda dan salah satu bangunan hijau di Pulau Pinang,”katanya.

Sementara itu, satu lagi perojek iaitu pembinaan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) bernilai RM45 juta.

Ismail Sabri berkata, pembinaan KBYC ini selaras dengan pengumuman kerajaan pada Hari Sukan Negara 2022 di atas tapak seluas lebih 10 hektar bernilai RM45 juta di Mukim 6, SPU.

“Ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya asrama, astaka, padang bola dan trek sintetik, dewan E-Sport, bilik muzik, gimnasium, trek jogging, taman papan selaju dan pelbagai kemudahan lain untuk golongan belia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles