SEPANG, 25 Sept — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada 34 rakyat Malaysia yang berani menyertai misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza.
Beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik berdiri teguh di belakang mereka yang digelar sebagai wira dan wirawati negara kerana keberanian mereka merentas lautan, berdepan ancaman serta ugutan, termasuk serangan bom, demi membawa sinar kepada rakyat Palestin.
“Alhamdulillah mereka tidak gentar. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar misi ini berjaya. Kini mereka berada di zon kuning menuju ke zon merah dan kita berharap masyarakat antarabangsa akan terus memberikan sokongan kerana misi ini melibatkan 45 negara,” katanya.
Zahid menegaskan, Malaysia menghargai perubahan pendirian beberapa negara yang kini mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang luar biasa, termasuk tindakan United Kingdom yang 75 tahun lalu terbabit dalam penubuhan Israel, namun semalam turut mengiktiraf Palestin.
Dalam masa sama, beliau merakamkan terima kasih kepada barisan peguam yang bersiap sedia memberi nasihat perundangan sekiranya berlaku sebarang tindakan agresif oleh Israel, selain NGO di bawah MAPIM yang terus memantau situasi misi 24 jam sehari.
“Media cetak, elektronik dan media sosial perlu memberikan liputan sewajarnya kerana 34 individu ini adalah wira negara yang harus mendapat sokongan semua pihak,” katanya.
Zahid berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara sahabat berhampiran untuk membantu bukan sahaja 34 rakyat Malaysia terbabit, tetapi juga lebih 500 anggota rombongan antarabangsa.
Beliau juga memaklumkan akan terus berhubung dengan Menteri Luar yang kini berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) serta berbincang dengan Kementerian Pertahanan mengenai langkah terbaik termasuk membawa pulang kesemua 34 rakyat Malaysia selepas misi selesai.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), MAPIM Malaysia Central Warehouse, Bandar Serenia, Sepang, hari ini.