KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan jenama khusus perkakasan rangkaian dalam pelaksanaan projek digital sektor awam, selagi peralatan berkenaan memenuhi syarat dan keperluan projek ditetapkan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, piawaian keselamatan siber, pemilikan data, kesalingkendalian, audit bebas dan pelan keluar pula tertakluk kepada pekeliling berkuat kuasa serta kontrak antara kerajaan dengan pembekal.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai kebolehoperasian sistem Huawei dan Siemens dalam projek kerajaan tanpa kebergantungan kepada satu pembekal.
Menurutnya, kerajaan menguatkuasakan syarat keselamatan siber berasaskan rangka kerja Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memastikan penggunaan perkakasan daripada pembekal berbeza tidak mewujudkan titik kelemahan keselamatan.
Antara keperluan ditetapkan ialah pematuhan Kod Amalan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), pengesahan kod sumber di fasiliti ujian diiktiraf serta pematuhan piawaian pengurusan keselamatan maklumat ISO/IEC 27001.
Selain itu, produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu mematuhi arahan serta pekeliling kerajaan berkuat kuasa, termasuk pensijilan keselamatan diiktiraf seperti Common Criteria EAL2, selain menjalani pengujian keselamatan ICT secara berkala.
Gobind berkata, kerajaan turut menetapkan syarat kontrak bagi mengelakkan kebergantungan kepada satu pembekal atau *vendor lock-in*, khususnya apabila sistem menggunakan format tertutup.
“Terma kontrak perolehan mesti menyatakan secara eksplisit bahawa kerajaan memegang hak milik penuh ke atas semua kod sumber serta data yang dijana, diproses, diterbitkan dan disimpan.
“Data berkenaan juga mesti boleh dieksport pada bila-bila masa menggunakan format standard dan terbuka,” katanya.
Beliau berkata, keperluan penggunaan platform terbuka turut digariskan dalam Garis Panduan Kejuruteraan Sistem Aplikasi Sektor Awam (KRISA) bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu pembekal.
Tambahnya, sistem kerajaan juga perlu menggunakan piawaian terbuka yang didokumentasikan sepenuhnya bagi membolehkan penyepaduan dengan sistem pihak ketiga tanpa perlu mengubah kod teras sistem.
Menurut Gobind, kerajaan akan terus memperkasakan kepakaran teknikal dalaman supaya berupaya mengurus, mengaudit dan mengintegrasikan pelbagai teknologi secara selamat serta mampan.










