More

    Kerajaan Tidak Manipulasi kes COVID-19

    Kerajaan menafikan memanipulasi data kes harian positif COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, data yang diperoleh kerajaan setiap hari adalah laporan harian daripada semua negeri dikumpulkan Kementerian Kesihatan.

    “Kerajaan mendapatkan data ini secara harian dari semua negeri sebelum mengeluarkan secara rasmi setiap hari dan kita anggap ini sesuatu yang kita tidak boleh terima.

    “Kami anggap ini adalah tuduhan palsu dan laporan yang dikeluarkan setiap hari dari Kementerian Kesihatan adalah benar, tidak timbul soal manipulasi,” katanya.

    Ismail Sabri berkata pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Latihan Dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD).

    Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi.

    Ismail Sabri mengulas mengenai dakwaan kerajaan memanipulasi data harian kes COVID-19 untuk mewajarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

    Beliau turut merujuk kepada peningkatan kes yang berlaku di seluruh dunia dan banyak negara di benua Eropah melaksanakan perintah sekatan atau darurat berikutan peningkatan kes.

    Justeru, beliau mengingatkan rakyat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun beberapa sekatan dilonggarkan ketika ini.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini