KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan terbuka untuk menilai semula had kuasa Perdana Menteri dalam proses pelantikan beberapa jawatan utama negara termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, keterbukaan itu mencerminkan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima pandangan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh institusi-institusi utama negara.
“Kerajaan terbuka menerima pandangan pelbagai pihak untuk menambah baik, sama ada dari segi perundangan atau proses, demi menjayakan agenda reformasi institusi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi hari ini.
Fahmi bagaimanapun menjelaskan bahawa isu pelanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Sebelum ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyuarakan harapan agar berakhirnya tempoh perkhidmatan Azam dijadikan titik tolak untuk menstruktur semula proses pelantikan jawatan itu.
C4 menegaskan bahawa selama ini kuasa pelantikan sepenuhnya berada di tangan Perdana Menteri, sekali gus membuka ruang kepada pertimbangan politik dalam menentukan siapa yang mengetuai agensi penting itu.
Mereka mencadangkan agar kerajaan melaksanakan proses pemilihan yang lebih demokratik, termasuk panggilan terbuka untuk calon serta rundingan dengan pembangkang dan organisasi masyarakat sivil.
“Proses pelantikan yang lebih telus dan inklusif mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM sebagai badan penguat kuasa bebas,” kata kenyataan C4.
Pada 4 April lalu, portal berita antarabangsa Bloomberg melaporkan Azam Baki dijangka akan diberi lanjutan perkhidmatan selama enam bulan lagi, memetik sumber yang rapat dengan kerajaan.