TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menerima apa jua kritikan dan pandangan daripada golongan pelajar.
Namun dalam masa yang sama, setiap lontaran itu mestilah dibuat secara berfakta, tidak melulu dan beremosi, malah mereka perlu bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang dilakukan.
“Apabila bertemu dengan pemimpin pelajar, salah satu soalan ditanya bolehkah kami bersikap kritis dan kritikal terhadap kerajaan.
“Saya kata boleh meluahkan perasaan dan pandangan anak sekalian apa yang dilakukan oleh kerajaan.
“Yang penting perlu bertanggungjawab setiap tindakan dan apa dikeluarkan oleh pelajar mesti mempunyai fakta dan bukti tidak secara emosi,” katanya ketika berucap pada perasmian Keluarga Malaysia@Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Mengulas lanjut, keterbukaan terhadap pandangan golongan mahasiswa membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan anak muda demi membangunkan dan memajukan negara.
Malah, ini juga selari dengan keputusan kerajaan, yang meluluskan Undi 18 pada baru-baru ini, sekaligus memberi peluang kepada golongan itu menentukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara.
Mengulas lanjut, menurut Ismail Sabri, beliau sedar ramai yang tidak yakin dan skeptikal terhadap keputusan kerajaan itu kerana dianggap mereka masih terlalu mentah untuk menentukan pemimpin negara.
“Tetapi kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin,” katanya.