Kerajaan Teliti Had Penggunaan Harian Budi95 – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme had penggunaan harian dalam program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi mengelakkan ketirisan subsidi.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan antara cadangan adalah menghadkan pengisian agar seseorang tidak boleh mengisi petrol bersubsidi setiap 10 minit kerana dibimbangi akan disalahgunakan, termasuk diagihkan kepada individu lain.

“Mungkin mekanisme penggunaan harian adalah seperti tidak membenarkan seseorang itu mengisi setiap 10 minit kerana berkemungkinan akan digunakan untuk kepentingan lain seperti diberikan kepada individu lain yang boleh menimbulkan ketirisan.

“Atau mungkin dalam sehari ada had tertentu. Bagaimanapun, perkara itu akan diperhalusi supaya mekanisme yang diguna pakai tidak menyusahkan rakyat dan dilaksanakan dengan cara yang sepatutnya,” katanya pada taklimat media mengenai subsidi RON95 di Bangunan KWSP, di sini hari ini.

Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan harga subsidi petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI95 dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya.

Menurutnya, kerajaan tidak berhasrat menyemak semula harga berkenaan dalam masa terdekat kerana ia adalah janji yang telah dibuat kepada rakyat untuk memastikan mereka terus menikmati harga bahan api berpatutan.

“Kadar RM1.99 adalah harga subsidi yang telah dipersetujui dan akan dikekalkan buat masa ini. Niatnya untuk mengekalkannya buat sementara waktu. Tetapi saya tidak boleh menjamin ia kekal sepanjang masa kerana ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia boleh membuat semakan kelayakan subsidi BUDI95 mulai 25 September (Khamis) melalui laman web rasmi www.budimadani.gov.my. Bagaimanapun, laman web berkenaan masih belum diaktifkan ketika ini.

Menyentuh mengenai kaedah penggunaan, Amir Hamzah memaklumkan bahawa pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam ‘reader’ di pam stesen minyak untuk menikmati subsidi. Selain bayaran tunai, pengguna juga boleh menggunakan kad kredit, kad debit, e-dompet atau aplikasi Setel bagi melengkapkan transaksi.

Tambah beliau, sebarang mekanisme yang diperkenalkan tidak boleh terlalu ketat atau membebankan rakyat. Kerajaan mahu memastikan sistem BUDI95 benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar tanpa menimbulkan masalah dalam penggunaan harian.

 

BBerkaitan

Latest articles