Kerajaan Tegas Tolak Keganasan, KDN Tidak Kompromi Perbuatan Hasutan Dalam Himpunan

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

Beliau berkata prinsip kebebasan perlu disertai dengan tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang, adab serta norma masyarakat.

“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam. Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan segera memberkas dalang serta penyerang yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri menambah, hak berhimpun secara aman tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit yang akhirnya mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berasingan turut mengecam keras insiden tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertamadun dan tidak boleh sama sekali diterima.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, namun kebebasan ini tidak boleh disalahguna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat.

Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang termaktub terhadap undang-undang; setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan bercanggah dengan peraturan negara,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah diarahkan untuk segera melaksanakan siasatan rapi dan memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta integriti pasukan keselamatan negara, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu,” tegas Saifuddin.

BBerkaitan

Latest articles