Kerajaan Tangguh Kebenaran Umrah Buat Sementara Waktu

KUALA LUMPUR: Susulan penularan jangkitan Omicron, kerajaan pada hari ini mengumumkan penangguhan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Begitu juga dengan tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu turut ditangguhkan berkuat kuasa, mulai hari ini.

“Jemaah umrah pula perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel tertentu seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 3 Januari (Isnin ini).

“Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga 7 Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh NADMA apabila tiba di Malaysia.

“Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri). Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

BBerkaitan

Latest articles