KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pada Ketika ini mahu memberi tumpuan kepada projek membabitkan rakyat seperti infrastruktur asas dan mitigasi banjir.
Oleh kerana itulah, menurut Anwar, kerajaan terpaksa menangguhkan beberapa pelaksanaan projek mega, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Begitu juga dengan keputusan untuk menghidupkan semula projek HST semestinya bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.
“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta kerana kerajaan ada kekangannya, isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang,” katanya di sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia, hari ini.
Setahun yang lalu, media melaporkan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan untuk terbabit dalam projek HSR.
Kyodo News yang memetik sumber mendakwa syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka telah memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.
Disember tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata Kabinet akan membuat keputusan sama ada untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura pada awal bulan ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kertas dasar mengenai projek itu, yang bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit, tidak akan menentukan sama ada projek itu benar-benar akan dihidupkan semula.
Katanya, ini kerana kerajaan masih perlu memulakan semula perbincangan dengan Singapura kerana HSR adalah projek rentas sempadan.
Singapura terbuka dengan cadangan Malaysia
Mengulas isu sama, Wong berkata, Singapura terbuka dengan sebarang cadangan baharu dari Malaysia, namun ia harus dimulakan semula daripada awal.
Katanya, kesalinghubungan lebih luas antara dua negara sentiasa memberi nilai tambah kepada Malaysia dan Singapura.
“Berhubung HSR, malangnya kita tidak dapat meneruskan projek asal, namun Singapura sentiasa terbuka dengan cadangan baharu daripada Malaysia.
“Bagaimanapun, (projek itu) harus bermula dari awal semula, itu pendirian kami (Singapura),” katanya.