KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak akan mencampuri kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) yang kini bergolak susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu.
Menurut Anwar, perebutan jawatan dan perpecahan yang berlaku dalam PN adalah urusan dalaman parti terbabit dan tidak ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan ketika ini.
“Soal orang idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai itu bukanlah masalah saya.
“Itu masalah mereka, kita tak campur, itu masalah Pas dan Bersatu dan cerai-berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun, hari ini.
Kemelut PN tercetus apabila Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, sebelum beberapa pimpinan utama Bersatu mengambil langkah sama.
Antaranya termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi PN Perak serta beberapa pemimpin negeri lain, sekali gus mencerminkan krisis dalaman yang semakin meruncing.
Sementara itu, mengulas spekulasi usaha Pas untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Anwar menegaskan perkara tersebut masih belum serius dan beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi.
Menurutnya, apa yang lebih penting ketika ini ialah Kerajaan Perpaduan kekal utuh dan seluruh pimpinan memberi tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi, kebajikan rakyat serta persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.










