Kerajaan Suntik Dana RM1 Bil Untuk Program Komuniti Madani

KUALA LUMPUR: Program Komuniti Madani akan diperkenalkan bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti penduduk desa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan dana sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, setiap komuniti desa mahupun bandar yang terpilih akan diberi geran sehingga RM100,000 untuk menjalankan aktiviti ekonomi pilihan mereka.

“Dalam soal ini kita nak pastikan setiap kampung, setiap rumah panjang ataupun perkampungan Orang Asli di pedalaman dan kawasan perumahan sederhana diberikan RM100,000 atau minimum RM50,000 jikalau bilangan penduduk kecil di perumahannya.

“Dengan peruntukan itu, kita mahu membiarkan masyarakat kampung itu sendiri memutuskan apa mereka nak gunakan wang itu untuk kegiatan pembangunan ekonomi mereka.

“Penduduk kampung memutuskan dan kita pertanggungjawabkan kepada mereka pelaksanaan kegiatan ekonomi itu,” katanya dalam ucapan Belanjawan 2024 Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, selama ini perancangan dan pelaksanakan program itu ditetapkan kementerian berkaitan disusuli Pejabat Daerah dan jabatan berkaitan memutuskannya.

“Ini tetap diteruskan tetapi menerusi program baharu ini kita akan memberikan satu makna penyertaan demokrasi, prinsip musyawarah sebati dengan tradisi budaya kita dengan melibatkan penyertaan masyarakat kampung.

“BUat masa ini RM1 bilion telah diperuntukkan sebagai dana permula untuk program ini dan kita akan perkembangkan dari semasa ke semasa melibatkan semua masyarakat kampung.

“Dalam soal ini, kita akan memastikan tidak wujud sebarang unsur diskriminasi oleh mana-mana kumpulan, parti, kaum atau agama untuk melaksanakannya.

“Sesiapa sahaja di kampung itu harus dimaklumkan untuk menghadiri, terlibat dalam menentukan bentuk perancangan ekonomi dan hendaklah duduk memutuskan secara bersama,” ujarnya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan Program Kampung Angkat Madani yang tujuan untuk melengkapkan kemudahan asas termasuk internet di kawasan desa yang terpinggir.

BBerkaitan

Latest articles