Kerajaan Siap Sedia Aktifkan 9,058 PPS Hadapi Risiko Banjir Besar

 

TAWAU: Kerajaan berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum apabila bersedia mengaktifkan sehingga 9,058 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara bagi menghadapi risiko banjir yang dijangka meningkat susulan fenomena hujan luar biasa ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata meskipun hanya 188 PPS beroperasi ketika ini dengan lebih 22,000 mangsa dipindahkan, langkah berjaga-jaga secara menyeluruh perlu diambil kerana keadaan cuaca yang berubah-ubah tanpa amaran.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, kapasiti PPS yang tersedia itu mampu menampung sehingga 2.189 juta mangsa sekiranya negara berdepan bencana besar.

“Kita tidak mendahului ketentuan Allah, namun persediaan tetap perlu. Jika ditakdirkan berlaku banjir besar, insya-Allah semua PPS ini mampu menampung lebih dua juta mangsa.

“Kita doa semoga keadaan tidak sampai begitu,” katanya ketika ditemui pada Program Eksplorasi TVET Komuniti di Kolej Komuniti Tawau, hari ini.

Mengulas keadaan cuaca semasa, Ahmad Zahid berkata fenomena luruhan hujan luar biasa menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir turut terjejas kali ini.

“Di Bagan Datuk contohnya, sudah puluhan tahun tidak banjir. Tetapi kali ini, rumah kampung saya sendiri turut dinaiki air.

“Keadaan ini berpunca daripada perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November ini, beliau menasihatkan 1.7 juta pengundi agar keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan gangguan cuaca.

“MetMalaysia menjangka hujan bermula tengah hari. Kita khuatir hujan lebat pada waktu itu boleh menyukarkan proses pengundian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sudah menggerakkan 9,800 petugas serta lebih 7,000 aset merangkumi bot, lori dan jentera penyelamat untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu katanya, 14 Jambatan Bailey turut disediakan sebagai langkah kecemasan sekiranya laluan utama terputus.

“Tujuh disediakan di Semenanjung, tiga di Sabah dan empat di Sarawak. Kita juga sedang menambah jumlahnya.

“Kesiapsiagaan ini penting supaya keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” tegasnya.

Ahmad Zahid disambut meriah ketika hadir dalam program berkenaan

BBerkaitan

Latest articles