Kerajaan bersetuju meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang telah menikmati PKKP, dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dicapai Jemaah Menteri semalam.
“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Dis lepas turut melibatkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
“Amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026,” katanya dalam sidang media di sini.
Anwar berkata langkah meneruskan PKKP itu bagi memastikan golongan berkenaan menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup, sekali gus bukti keprihatinan Kerajaan MADANI selaras dengan konsep Ihsan.
— BERNAMA