Kerajaan Setuju Langkah Pinda Akta Perhimpunan Aman 2012

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan mana-mana pihak atau kumpulan untuk mengadakan perhimpunan aman.

Menerusi pindaan itu, pihak berkuasa boleh mengadakan persediaan khususnya dari segi kawalan lalu-lintas dan keselamatan sepanjang perhimpunan aman itu berlangsung.

“Saya beri jaminan mulai sekarang tidak ada lagi dikehendaki apa-apa kelulusan melainkan pemakluman atau istilahnya pemberitahuan lima hari kepada pihak polis sebelum mengadakan perhimpunan.

“Tempat diberi kelonggaran melainkan di kawasan yang dianggap mengganggu keselamatan awam seperti pekarangan istana, kawasan awam, tetapi saya percaya penganjur boleh memberi kerjasama dengan pihak polis,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parliamen Kota Melaka, Koh Poay Tiong mengajukan soalan sama ada kerajaan bersedia meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.

Sementara itu, Anwar berkata, pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang itu juga termasuk mengetepikan keperluan mendapatkan kelulusan tempat seperti yang termaktub menerusi Seksyen 11 Akta 376.

“Yang disebut menerusi akta itu iaitu hendaklah memperoleh pesetujuan pemunya atau penghuni tempat yang mahu diadakan perhimpunan yang menjadi pertikaian sekarang dan ini akan dikeluarkan daripada peraturan yang ditetapkan,” katanya

Bagaimanapun, tegas Anwar, pihak polis masih terikat dengan penguatkuasaan undang-undang melibatkan soal jenayah atau keselamatan sepanjang berlangsungnya perhimpunan aman.

Ia jelas beliau, termasuk sekiranya peserta perhimpunan aman itu didapati membawa senjata atau membawa kanak-kanak yang jelas menyalahi undang-undang.

Serentak itu juga, kata Anwar, pihak berkuasa akan menghentikan serta-merta siasatan terhadap peserta perhimpunan aman yang berlangsung baru-baru ini termasuk melibatkan 13 mahasiswa yang menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Januari lalu.

Turut dihentikan, ujar beliau, siasatan ke atas peserta himpunan mogok lapar dan himpunan oleh ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh baru-baru ini.

BBerkaitan

Latest articles