Kerajaan Serius Banteras Aktiviti ‘Ali Baba’

KUALA LUMPUR: Beberapa kementerian dan agensi kerajaan serta Jabatan Peguam Negara akan dilibatkan untuk mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti ‘Ali Baba’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Beliau menambah kerajaan secara prinsipnya melihat budaya ‘Ali Baba’ membawa kesan negatif kepada ekonomi dan memerlukan langkah yang serius untuk menangani dan membasmi aktiviti tersebut.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan semalam membincangkan aktiviti ‘Ali Baba’ dan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Menyentuh tentang NETR, Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut akan dipercepatkan sebagai pemangkin kepada strategi untuk mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam bidang tenaga boleh baharu.

Ia membabitkan projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

Fasa pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).

Katanya, peluncuran NETR fasa pertama akan diadakan pada 27 Julai ini disusuli peluncuran fasa kedua pada Ogos depan.

BBerkaitan

Latest articles