Kerajaan Serah Kepada SPR Tentukan SOP PRN Johor

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memberi kuasa sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamad dan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebagai sebuah badan bebas, SPR, ujar Ismail Sabri, berhak menentukan SOP berkenaan tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

“Kita tunggu pengumuman SPR berhubung SOP PRN Johor. SPR adalah badan bebas dan kerajaan sendiri tidak boleh campur dalam penentuan butiran PRN termasuk SOP.

“Namun saya pasti sebelum SOP PRN Johor diumumkan, SPR sudah pasti akan mendapatkan nasihat dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Jadi kita tunggu pengumuman SPR,” katanya selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Terdahulu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, tiada kempen bersemuka antara SOP yang boleh diteruskan sepanjang tempoh berkempen pada PRN Johor.

Beliau dilaporkan berkata, ia boleh mengelak daripada berlakunya perkumpulan ramai yang berisiko kepada masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles