Kerajaan Sedia Kuat Kuasa Had Umur Media Sosial Pada Julai

JOHOR BAHRU: Kerajaan memberi bayangan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial akan bermula seawal Julai ini, sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko bahaya serta pendedahan kandungan tidak sesuai di alam siber.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan, pelaksanaan dasar itu kini berada dalam fasa percubaan menerusi mekanisme regulatory sandbox, yang membolehkan kerajaan menilai kaedah terbaik sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA), selain perbincangan bersama penyedia platform media sosial sedang giat dijalankan, khususnya berkaitan sistem pengesahan umur pengguna.

“Kita sedang meneliti pendekatan paling selamat dan berkesan bersama penyedia platform. Sasaran pelaksanaan adalah dalam tahun ini, sama ada pada suku ketiga atau keempat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Putra Utama, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan turut menyasarkan semua platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti digital atau eKYC menjelang akhir suku kedua 2026, bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum sebelum akaun dibenarkan dibuka.

Dalam perkembangan berkaitan, Teo memaklumkan Kerajaan Madani memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini, melibatkan seramai 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.

Katanya, di Johor sahaja, seramai 586,153 pelajar menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM87.9 juta, manakala di daerah berkenaan, 58,264 pelajar menerima bantuan berjumlah RM8.7 juta.

“Hari ini penyerahan dibuat secara simbolik kepada ibu bapa terpilih di SK Putra Utama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles