Kerajaan Rancang Untuk Buka Semula Beberapa Sektor Ekonomi – Timb. Menteri Ekonomi

Kerajaan merancang untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi secara berperingkat selepas lebih sebulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata, ia bertujuan untuk merancakkan kembali ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.

“Kerajaan akan berusaha dengan lebih agresif untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara selain mempelbagaikan lagi sumber pendapatan negara.

“Kita akan merangka langkah yang lain juga untuk merancakkan lagi ekonomi domestik negara.

“Buat masa ini, kerajaan merancang untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi secara berperingkat adalah bagi memastikan keadaan ekonomi kembali pulih.

“Walau dalam apa keadaan pun, perdana menteri telah menekankan bahawa kebajikan rakyat Malaysia akan terus menjadi keutamaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malaysia melaksanakan PKP sebagai langkah proaktif memutuskan penularan rantaian wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Tindakan itu menyaksikan ekonomi negara terjejas apabila sektor perniagaan turut dihentikan buat sementara waktu selaras dengan PKP.

Bagi meransangkan kembali ekonomi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang bernilai RM250 bilion, 27 Mac lalu.

Pada 24 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed memaklumkan kerajaan mungkin perlu membuat beberapa penyusunan semula terhadap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) susulan impak krisis Covid-19 kepada ekonomi negara.

Mustapa berkata, RMK12 dirangka ketika ekonomi di tahap yang baik, bagaimanapun wabak Covid-19 telah menjejaskan banyak perkara, termasuk ekonomi dan pendapatan negara, sejak sebulan lalu.

Pelancong domestik

Dalam pada itu, Arthur berkata, kerajaan sedang merangka pelan pemulihan ekonomi untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memulihkan ekonomi negara akibat kesan wabak Covid-19.

Beliau berkata strategi pelan pemulihan ekonomi itu nanti akan dapat merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19 terutama sekali dalam strategi jangka panjang yang akan turut merangkumi langkah untuk melestarikan teras ekonomi, alam dan sosial negara.

“Selain itu, pendapatan negara daripada industri pelancongan juga turut terjejas. Oleh itu, kita mungkin perlu lebih bergantung kepada pelancong domestik.

“Jadi apa jua perancangan yang hendak dilaksanakan kita perlu melihat kepada kedudukan kewangan dan hasil negara terlebih dahulu,” katanya.

Jelasnya lagi, perdana menteri juga mahu mempercepatkan lagi proses pendigitalan masyarakat sebagai sesuatu yang perlu diberikan penekanan khusus.

BBerkaitan

Latest articles