Kerajaan Pusat Tidak Akan Rayu Pemberian Khas 40% Hasil Sabah, Namun Fail Rayuan Berhubung Dapatan Penghakiman

KOTA KINABALU, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 11 November 2025, yang turut membincangkan penghakiman kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap Kerajaan Persekutuan berkaitan perkara tersebut.

Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil yang dijamin oleh Perlembagaan, dan akan memulakan proses rundingan dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

“Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan berhubung beberapa dapatan dalam alasan penghakiman tersebut, termasuk dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa alasan yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa serta ketidakaturan dari segi prosedur berhubung kajian semula selepas 2021 perlu diperhalusi dan dirayu bagi memastikan kejelasan serta ketetapan undang-undang dipelihara.

BBerkaitan

Latest articles