Mengambil kira bantahan ahli-ahli parlimen daripada Umno dan PAS, kerajaan bertekad untuk tidak mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata banyak perkara perlu diambil kira jika ia hendak dilaksanakan.
Namun beliau berkata perancangan untuk mengadakan pilihan raya PBT tidak akan diteruskan memandangkan masyarakat belum bersedia.
Bagaimanapun kerajaan akan membuat beberapa pindaan terhadap Akta Kerajaan Tempatan.
“KPKT akan ambil langkah-langkah kecil untuk tingkatkan demokrasi di peringkat PBT, memandangkan kerajaan PN tidak akan laksanakan pilihan raya PBT.
“Ia juga satu yang saya lihat sebagai langkah drastik, memandangkan masyarakat kita tidak bersedia untuk laksanakan pilihan raya PBT,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sidang Dewan Rakyat hari ini dibangkitkan persoalan mengenai pilihan raya PBT seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang meminta supaya cadangan tersebut, seperti yang pernah dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk tidak diteruskan.
Soal pilihan raya PBT timbul selepas Zuraida memaklumkan kementeriannya akan membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada pertengahan tahun 2021.
Ujarnya KPKT telah menyediakan kertas Kabinet dan menubuhkan dua jawatankuasa untuk mengkaji usul itu.