Kerajaan PN Ada Kekuatan Tersendiri – Ketua Armada Papar

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap ada kekuatan tersendiri jika semua pihak terbabit bekerjasama mempertahankannya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Papar Azrul Ibrahim berkata tidak bermakna persepakatan dalam kerajaan PN tersebut harus terhenti setakat tamat penggal ini kerana istilah PN juga hanya muncul ketika krisis politik di negara ini yang berlaku Januari lepas apabila sudahnya Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada Januari lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan roboh selepas Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad secara tiba-tiba meletakkan jawatan dan Bersatu mengumumkan keluar dari PH pada masa itu.

“Walaupun khabarnya ada pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan pemerkasaan Perikatan Nasional, tidak bermaksud kerjasama PN pra dan pasca PRU15 tidak boleh direalisasikan.

“Perkembangan politik tanah air begitu dinamik. Pimpinan tertinggi parti-parti kerjasama PN pasti akan duduk semeja, membincangkan hala tuju Perikatan Nasional secara serius.

“Usaha awal ke arah itu telah pun membuahkan hasil. Pembentukan kabinet yang melibatkan semua pemimpin parti-parti kerjasama PN adalah bukti awal pemerkasaan PN boleh direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sejak akhir-akhir ini ada banyak isu diperkatakan berkaitan kerajaan PN yang timbul disebabkan kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mahukan Bersatu kembali kepada PH.

Azrul berkata ada juga kenyataan dari pihak Armada pusat yang menyokong ajakan itu yang mahu Muhyiddin iaitu Presiden Bersatu kembali bersama pakatan berkenaan.

“Umum mengetahui, Timbalan Presiden dan Ketua Armada Bersatu Nasional adalah kumpulan yang menyokong Pakatan Harapan.

“Bermakna, Bersatu bergelut dengan dua kumpulan yang menyebabkan sedikit kekalutan berlaku dalam parti.

“Walaubagaimanapun, kumpulan yang menyokong Presiden dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memiliki kekuatan tersendiri dan dilihat mampu memenangi pemilihan parti akan datang,” katanya.

Ketika ini, nampak di dalam parti Bersatu yang mahu ia kembali bersama PH hanyalah dua figura sahaja iaitu Mukhriz dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala sebahagian besar ahli majoriti Bersatu mahu parti terus bekerjasama dengan PN.

Azrul menyifatkan ia tidak adil untuk mengambil pakai kenyataan daripada beberapa kumpulan pimpinan sahaja untuk dijadikan hujah pokok kepada pendirian parti secara keseluruhan.

“Majoriti ahli mahukan BERSATU bekerjasama dalam Perikatan Nasional. Saya mengharapkan rakan-rakan pimpinan parti kerjasama Perikatan Nasional mengendurkan sedikit kritikan dan tempelak terhadap isu yang ditimbulkan oleh individu yang tidak lagi mendapat sokongan daripada ahli majoriti,” katanya.

Beliau menganggap perubahan kerajaan pada 1 Mac lepas telah mengubah landskap politik negara khususnya kepada parti Bersatu.

Menurutnya, pemilihan Bersatu tidak lama lagi akan menentukan hala tuju parti itu dan Azrul melihat ramai ahli akar umbi akan menyokong Muhyiddin sebagai Presiden dan menolak bulat-bulat kewujudan sayap kiri yang menyokong PH ketika ini.

Dalam kenyataannya, Azrul berkata negara memerlukan konsep politik hikmah untuk berdepan situasi semasa dan akan datang yang pasti lebih mencabar.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ayuh kita yang mahu melihat Malaysia yang lebih cemerlang, bersama kita sepakat, membawa Perikatan Nasional sebagai wahdah perjuangan.

“Dendam politik harus diketepikan. Masa depan negara dan rakyat adalah keutamaan. Pada masa ini, ayuh kita fokus kepada agenda memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Sejak dua tiga hari ini, heboh diperkatakan tentang status kewujudan PN serta parti-parti di dalamnya. Parti UMNO sudah membuat kenyataan bahawa mereka tidak akan menyertai perikatan itu secara rasmi tetapi mempertahankan kerajaan PN sehingga PRU15 sahaja.

Ini kerana jika UMNO menyertainya secara rasmi, ia akan membawa lebih banyak parti gabungan kerana UMNO sudah ada gabungan mereka sendiri pada masa ini iaitu Muafakat Nasional. – TRI

BBerkaitan

Latest articles