Kerajaan Peruntuk RM1.4 Bilion Untuk Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, yang bertujuan memastikan segala bantuan serta kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh.

Perdana Menteri memaklumkan peruntukan bantuan berkenaan berjumlah RM1.4 bilion, yang antaranya menerusi Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

“Di bawah inisiatif ini juga, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan atau BWI antaranya, pertama RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah atau KIR yang terjejas akibat banjir, kedua menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara atau PPS.

“Ketiga RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, dan keempat mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut,” jelas Ismail Sabri dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu bayaran BWI telah dilakukan pada 27 Disember lalu dan dijangka selesai hujung minggu ini.

Namun Ismail Sabri menambah, kemungkinan berlaku kelewatan bayaran bagi mangsa-mangsa banjir di Selangor dan Pahang kerana jumlah mangsa yang ramai.

Dalam pada itu, sejumlah 30,000 Ketua Isi Rumah (KIR) sudah didaftarkan untuk menerima BWI.

Malah RM34 juta juga telah disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada 11 buah negeri yang terkesan akibat banjir.

“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” jelas Ismail Sabri lagi.

Dalam pada itu kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir.

Katanya, kerajaan turut menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

Peruntukan ini kata Ismail Sabri akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak.

BBerkaitan

Latest articles