PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menggubal Akta Antibuli yang akan memperkenalkan sistem tribunal khas bagi mendengar kes membabitkan pelajar dan kanak-kanak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ke mesyuarat Kabinet terdekat untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Nanti (Azalina) akan bawa ke Kabinet, kita bincang di sana,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di Kompleks Kementerian Kewangan hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Semalam, Azalina mendedahkan kerajaan sedang mengkaji keperluan RUU Antibuli kerana ketika ini tiada undang-undang khusus bagi menangani kes buli.
Sebaliknya, kes berkenaan hanya dirujuk melalui Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut beliau, kebimbangan turut disuarakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berikutan majoriti kes membabitkan pelaku dan mangsa yang kedua-duanya masih kanak-kanak.
Hal itu menimbulkan persoalan sama ada proses undang-undang sedia ada benar-benar sesuai atau memerlukan mekanisme baharu yang lebih mesra kanak-kanak.
“Ia sesuatu yang perlu dibincangkan di Kabinet, sama ada proses lain perlu diwujudkan, seperti tribunal khas di bawah Akta Antigangguan Seksual,” jelasnya.
Untuk rekod, isu buli di sekolah semakin membimbangkan dengan lebih 3,000 aduan kes direkodkan Kementerian Pendidikan pada 2023, termasuk keganasan fizikal, ugutan dan buli siber.
Cadangan menubuhkan tribunal khas itu dilihat mampu menjadi platform alternatif selain mahkamah untuk memastikan kes diselesaikan lebih cepat, adil serta mengambil kira kepentingan kanak-kanak.
Langkah ini juga sejajar dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan nilai belas ihsan, keselamatan masyarakat dan perlindungan kepada golongan rentan.