Kerajaan Perpaduan Mampu Jadikan Malaysia Negara Hebat Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sokongan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di rantau Asia.

Keyakinan itu disuarakan beliau berdasarkan prestasi lapan bulan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerajui negara.

“Baru lapan bulan mentadbir negara pelbagai usaha kita buat untuk bela nasib rakyat, bayangkan kalau kita boleh perintah lima tahun. Insya-Allah Malaysia akan jadi hebat sebagai satu negara Asia,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika singgah di Gerai Gulai Kalut di Jalan Sungai Pinang, Pulau Pinang, untuk menyantuni masyarakat setempat.

Bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), Anwar yakin dengan sokongan pengundi dari kaum Cina terhadap calon-calon gagasan kerajaan.

Sehubungan itu keyakinan yang sama harus dicerminkan oleh pengundi dalam kalangan kaum Melayu pada PRN di enam negeri, esok.

“Saya minta kali ini, saya nak kawasan Melayu terutamanya (beri sokongan) dan orang Cina nampak teratur, terjamin. Saya nak kawasan Melayu bagi sokongan kepada calon-calon kita BN dan PH, boleh?

“Saya juga minta (calon-calon PRN) kerjalah dan Insya-Allah, ini amanah yang kita akan pikul untuk membela nasib rakyat,” katanya.

Menerusi ucapan yang sama, Anwar menempelak pihak pembangkang yang mendakwa kerajaan pimpinannya tidak melaksanakan sebarang perubahan khsususnya daripada segi membantu rakyat.

“Apa yang kita buat dalam Kerajaan Perpaduan ini adalah tolong rakyat.. naikkan harga padi, getah, gaji penjawat awam, gaji sektor swasta.. itu kita rancang dan Insya-Allah kita akan lakukan.

“Ada orang kata kita belum buat (perubahan) dan yang kata belum buat itu memang mata dia rabun.

“Padi naik ka harga? naik, iaitu RM350 kepada RM500… pasal apa (mereka) tak buat dua tahun sudah? Jadi biarlah Pas, Bersatu nak bercakap kita (Kerajaan Perpaduan) akan terus bela nasib rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles